Gambar Lahad Datu Pengganas Amal Ilmu Hitam, Mayat Cepat Reput |
Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai
Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, tetapi berdasarkan
tanda-tanda yang ditemui pada mayat pengganas itu, mereka menggunakan
ilmu kebatinan yang berunsur syirik.
Antara benda-benda berunsur syirik yang ditemui pada mayat pengganas
ialah tangkal yang mereka percayai boleh menjadikan anggota militan
kebal dan takwim bagi meramal hari yang sesuai untuk menyerang pasukan
keselamatan.
Menurut sumber pasukan keselamatan, terdapat pengganas yang mati
ditembak memakai tangkal dan mempunyai tatu ayat al-Quran di badan.
"Mereka mungkin kebal dengan peluru tetapi tidak setiap masa. Malah jika
kulit mereka tidak lut namun letupan mortar mampu membunuh mereka,"
katanya.
Beliau berkata, ada satu mayat pengganas yang mempunyai kesan hitam
dipercayai kesan peluru namun kemungkinan kematian pengganas itu
disebabkan luka dalaman akibat bunyi dan letupan mortar.
"Peliknya pengamal ilmu batin ini, mayat pengganas cepat busuk dan
dihurungi ulat dalam tempoh sejam. Jika manusia biasa ulat akan hurungi
mayat itu jika dibiarkan lebih dari dua atau tiga hari," katanya.
Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Sabah, Mejar Anuar Mat Zin
berkata, Islam melarang menggunakan ilmu kebatinan yang boleh
menyekutukan Allah dalam menegakkan sesuatu perjuangan kerana ia lari
daripada landasan agama.
Beliau berkata, perbuatan itu boleh merosakkan akidah sekaligus menjadikan perjuangan mereka adalah perbuatan sia-sia.
"Perbuatan memuja sesuatu ilmu seperti untuk kebal adalah salah di sisi
Islam, Islam tidak menerima perjuangan seperti itu biar apapun niat dan
matlamatnya," katanya yang turut terlibat dalam Operasi Daulat dalam
membanteras kumpulan pengganas itu.
Beliau berkata, soal ajal dan maut adalah di tangan Allah dan tiada siapa atau kuasa yang dapat mengubahnya.
Pengganas yang didakwa menggunakan ilmu batin untuk kebal turut memakai
tangkal dan kad meramal hari, iaitu ilmu Kutika yang dipelajari daripada
buku Tajul Muluk dan perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara
Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Itu mungkin kepercayaan mereka," katanya selepas ditemui pemberita di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini semalam.
Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi pula menyifatkan amalan kebatinan
pengganas tidak melambangkan mereka seorang pejuang jihad seperti yang
cuba digembar-gemburkan pihak tertentu di negara ini.
"Menurut Islam adalah haram bagi mana-mana pihak yang ingin
mengganggu-gugat negara yang berdaulat, iaitu pemimpinnya dipilih oleh
rakyat dengan kerelaan hati mereka.
"Tetapi ia dibenarkan jika kedaulatan negara terancam seperti Palestin
kerana ia demi mempertahankan kedaulatan negara itu yang telah
dirampas," katanya yang menyifatkan pengorbanan pasukan keselamatan
adalah satu jihad kerana mempertahankan negara berdaulat.
No comments: