Seram! Apabila Uri Bayi Jadi Tumpuan Makhluk Halus | Apabila kita
menyebut tentang uri, KisahBest.My ingin berkongsi tentang satu kisah
seram di mana sebuah keluarga yang membawa balik uri bayi untuk ditanam
di rumah, menjadi tumpuan makhluk halus. Salah seorang daripada ahli
keluarga tersebut tersedar dan cuba melawan makhluk halus tersebut.
Persoalannya, apakah yang terjadi kepada uri tersebut? Ikuti kisah di
bawah ini.
Sekadar gambar hiasan
Kami sekeluarga tinggal di kawasan timur singapura. Ketika berlaku
kajadian yang ingin aku ceritakan ini, kakak iparku baru sahaja bersalin
dua hari yang lepas. Walaupun dia masih lagi ditahan di hospital, uri
bayinya telah dibawa pulang dahulu untuk ditanam. Malangnya uri itu
tidak dapat ditanam pada hari ia dibawa balik dari hospital kerana hari
sudah senja. Uri itu kami letakkan dalam botol di atas meja dapur. Lampu
dapur pula dinyalakan kerana menurut orang tua-tua, uri bayi yang baru
hendaklah diletakkan dekat cahaya supaya tidak diganggu hantu dan
syaitan.
Jam di dinding berdenting menandakan 12.45 tengah malam.
Penghuni-penghuni lain di rumah sudah nyenyak dibuai mimpi. Aku pula,
entahlah. Perasaanku berlainan malam itu. Selalunya tidak begitu. Mata
ini belum lagi terasa mengantuk, sebaliknya perut pulak terasa lapar.
Aku terus melangkah menuju ke dapur untuk mencari makanan. Apabila kaki
ku baru selangkah menjejak ruang lantai dapur, tiba-tiba aku terlihat
lembaga putih di tingkap dapur berjalan di udara. Mimpikah aku? Tak kan
ada orang berjalan atas angin, jawab hatiku sendiri. Lagi pun, rumah
kami di tingkat lima.
Aku terus beristighfar. Lembaga itu melintas lagi di tingkap dapur.
Tiba-tiba ia berhenti, lalu memandang ke arahku dan menunjuk ke arah
botol yang terletak di atas meja. Matanya merah, bagaikan bebola api.
Lendir di celah-celah mulutnya yang keluar sangat menjijikan. Barulah
aku sedar yang lembaga itu adalah pontianak. Dengan kuasa Allah, mulutku
mula membaca ayat Al Quran.
Pontianak itu tiba-tiba berlalu, menghilangkan diri. aku kira semuanya
sudah selesai, tapi aku tersalah duga. Sejurus kemudian, aku terlihat
lembaga itu di tingkap ruangan tamu pula. Ia cuba mencakar-cakar dinding
ruangan tamu. Aku hairan kenapa ibu ayah tidak sedikitpun mendengar
kejadian ini. Mingkin ini suatu ujian untukku. Alhamdulilah, surah
yassin telah diletakkan di setiap penjuru dan tingkap di rumahku.
Oleh sebab itulah pontianak itu tidak boleh masuk. Aku ke dapur lalu
mengambil segelas air lalu ku bacakan ayat Qursi. Sesudah itu, aku
renjiskan ke seluruh penjuru rumah dan disemua tingkap.
Akhirnya pontianak itu pergi jua dengan hilaian yang sangat
menggerunkan. Esok pagi-pagi lagi aku mengajak abangku pergi menanam uri
anaknya. Waktu melawat kakak iparku di hospital kemudian, dikatakan
bahawa anaknya semalaman menangis tak henti-henti. Mujur ayahku telah
membekalkan surah-surah untuk menjadi pendinding. Aku hanya terdiam di
situ mendengar cerita mereka. Kejadian malam itu tidak kuberitahu
sesiapapun.
No comments: