Berkhidmat dalam bidang menguruskan jenazah merupakan satu amalan yang
mulia. Biarpun pekerjaan seperti ini, seperti satu yang menakutkan, ia
merupakan satu tanggungjawab muslim kepada muslim yang lain. Seorang
yang ditugaskan mengurus jenazah menceritakan detik pengalaman
berhadapan dengan situasi terlihat wajah jenazah yang bertukar hitam.
Ini bukan kisah seram untuk menakut-nakutkan kita, akan tetapi sebagai
satu renungan buat kita semua.
Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku
Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang
sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan
gelap serta sunyi dan hening. Hanya saya dan seorang penjaga bilik
tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan
hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih, badannya kecil dan
berusia awal 20-an.
Allah Maha Berkuasa. Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi
sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai
aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula
bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil
di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi
detik berlalu,wajah jenazah semakin hitam.
Selepas lima minit berlalu,barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika
itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya, tetapi
hitam seperti terbakar. Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk
termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan
timbul di kepala saya. Apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah
pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan
muncul di fikiran saya.
Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan
menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini
yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 pagi Semakin
lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan
saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.
Ustaz,” kata wanita itu. “Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut.
Jadi saya nak tengok jenazahnya.” kata wanita berkenaan dengan lembut.
Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya, namun saya membawa juga
wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain
penutup wajahnya.
“Betulkah ini mayat anak mak cik?”tanya saya. “Mak cik rasa betul… tapi
kulitnya putih.” “Makcik lihatlah betul-betul.” kata saya. Selepas
ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu
adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak
kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.
Tiba di luar saya bertanya kepadanya. “Mak cik, ceritakanlah kepada saya
apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi
hitam?” tanya saya. Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis
teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab.
Dia seperti menyembunyikan sesuatu. “Baiklah, kalau mak cik tidak mahu
beritahu, saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. ” kata saya
untuk menggertaknya.
Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya. Sambil
mengesat airmata, dia berkata, “Ustaz, anak saya ni memang baik, patuh
dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya
buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah
sepatahpun. Dia memang anak yang baik.
Tapi…” tambah wanita itu lagi “apabila makcik kejutkan dia untuk bangun
sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia,
suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi
kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang, anak makcik ini akan terus
naik angin. Itulah yang mak cik kesalkan.” kata wanita tersebut.
Jawapannya itu memeranjatkan saya. Teringat saya kepada hadis nabi
bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman
dari wajahnya. Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan
sahaja ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang
hitam.
Selepas menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri
untuk pulang. Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran
yang gelap. Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan
menyembahyangkannya. Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula.
Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya
sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak
untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon
yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara
Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya. Selepas
memperkenalkan diri, saya berkata, “Encik, kenapa encik biarkan orang
tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih
elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di
Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang.”
Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, “Orang tua mana pula?”
katanya. Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk
badannya, wajahnya, tuturannya serta pakaiannya. “Kalau wanita itu yang
ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi…. emaknya dah
meninggal lima tahun lalu!”
Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Jadi ‘apakah’
yang datang menemui saya pagi itu? Walau siapa pun wanita itu dalam erti
kata sebenarnya, saya yakin ia adalah ‘sesuatu’ yang Allah turunkan
untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga
menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam. Peristiwa tersebut
telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.
credit [emas putih
No comments: